Wednesday, December 3, 2008

Cahaya Hidayah

Jangan dilalaikan oleh dunia

Ibn Kathir berkata: Kemudian Allah menceritakan berhubung dengan perhiasan kehidupan dunia bagi orang kafir dan reda dengannya dan berasa tenang serta cenderung ke arah dunia. Lantas mereka mengumpulkan harta benda dengan sebanyaknya sehingga menegah daripada membelanjakannya mengikut apa yang diredai Allah.

Lebih malang lagi mereka mengejek dan menghina orang Islam apabila mereka menafkahkan untuk mentaati tuhan mereka.


Sayid Qutub berkata: Di bawah bayangan amaran terhadap sikap ragu-ragu menyambut dakwah Allah dan terhadap perbuatan menukarkan nikmat Allah, maka ayat-ayat yang berikut menyebut pula keadaan orang-orang yang kafir. Ia turut menjelaskan keadaan orang-orang yang beriman sambil mendedahkan perbezaan di antara neraca orang kafir dengan neraca orang yang beriman dalam mengukur nilai-nilai, keadaan-keadaan dan orangnya.


Allah berfirman, Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya). (Al-Baqarah: 212)


Firman Allah s.w.t: Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir.


Dihiaskan manusia di sini dengan tiga pendapat:


Syaitan yang menghiasi mereka seperti kata al-Hassan.


Manusia dan jin yang memperdayakan mereka seperti kata sebahagian Ahli Kalam.


Bahawa Allah menghiasi mereka dengan syahwat.


Firman Allah: Sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Ini kerana mereka sangka yang mereka atas dasar kebenaran, justeru mereka mengejek orang lain yang lemah. Mereka yang melakukan demikian terdapat dua pandangan:


* Ulama Yahudi.


* Musyrikin Arab.


Al-Qurtubi berkata: Ia merupakan isyarat kepada kaum kafir Quraisy kerana mereka membesarkan keadaan mereka berhubung dengan keduniaan di samping mengejek pengikut Muhammad s.a.w.


Ibn Juraij berkata: Mereka menuntut akhirat kerana dikatakan kepapaan mereka serta kemiskinan seperti Bilal, Suhaib, Ibn Mas’ud dan lain-lain.


Firman Allah: Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Ini terbukti mereka jauh lebih mulia pada hari akhirat berbanding dengan orang-orang kafir di dunia dahulu.


Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya). Bagaimana dengan ayat ini sedangkan ayat 36 dalam Surah al-Naba’ menunjukkan pemberian yang terhad. Jawapannya mempunyai enam wajah seperti kata al-Mawardi:


* Kekurangan tanpa hisab sedangkan balasan dengan hisab.

* Tanpa hisab kerana keluasan kerajaannya yang tidak binasa dan habis dengan kurniaan.

* Kerana kecukupan mereka tanpa hisab dan sempit.

* Sentiasa tidak terhad dan putus maka jadilah seperti dihisab.

* Rezeki di dunia tanpa dihisab kerana umum untuk orang kafir dan mukmin.

* Dikurniakan rezeki kepada orang beriman pada hari akhirat dan mereka tidak dihisab.


Sayid Qutub berkata: Yakni kehidupan dunia dengan segala kenikmatan yang sedikit, cita-cita dan minat-minatnya yang kecil dipandang begitu cantik dan indah oleh orang-orang yang kafir hingga mereka berhenti setakat kenikmatan itu sahaja tanpa melampauinya.


Mereka tidak memanjangkan pandangan mata mereka kepada sesuatu yang lain di sebaliknya. Mereka tidak mengenali nilai-nilai yang lain selain dari nilai-nilai hidup dunia. Dan sesiapa yang berhenti di perbatasan-perbatasan hidup dunia sahaja tidak dapat meningkatkan pemikiran dan kefahamannya kepada cita-cita dan minat-minat yang luhur yang difikir dan dipandang oleh orang-orang yang mukmin pada ufuk-ufuknya yang jauh.


Orang-orang yang mukmin kadang-kadang memandang kecil kepada seluruh nikmat-nikmat kesenangan dunia, ini bukanlah kerana semangat dan cita-citanya begitu kecil untuk merangkul nikmat-nikmat kesenangan dunia atau kerana tenaga kekuatannya begitu lemah untuk mencapainya.


Bukan pula kerana ia bersifat pasif tidak mahu membangun dan memajukan kehidupan dunia, tetapi kerana dia memandang dari atas – walaupun dialah yang memegang teraju pemerintahan di bumi ini dan membangunkan kemajuan dan tamadunnya dan berusaha menyubur dan mempelbagaikannya.


Oleh sebab itulah dalam hidupnya dia mahu mencari sesuatu yang lebih besar dan lebih mahal daripada nikmat kesenangan hidup di dunia ini.


Ia mahu menegakkan sistem Allah di bumi ini dan mahu memimpin manusia ke arah yang lebih luhur dan lebih sempurna. Dia mahu menegakkan panji-panji Allah di puncak bumi dan di atas kepala manusia.


Ini supaya mereka dapat melihatnya di tempatnya yang tinggi dan dapat memandang lebih jauh di sebalik realiti hidup yang sedikit dan terbatas ini. Ruang hidup yang dihayati oleh orang-orang yang tidak mempunyai matlamat yang tinggi, cita-cita dan minat yang besar serta pandangan yang sempurna.


Orang-orang yang berjiwa kecil dan tenggelam di dalam lumpur hidup dunia, orang-orang yang memperhambakan diri mereka kepada matlamat hidup di dunia, mereka melihat orang-orang yang beriman meninggalkan tanah-tanah lumpur dunia ini dengan meninggalkan segala kenikmatan dunia yang kecil.


Semua itu untuk menegakkan cita-cita yang besar yang bukan hanya membabitkan kepentingan diri mereka. Malah membabitkan kepentingan seluruh umat manusia iaitu cita-cita yang bukan bersangkutan dengan diri mereka, tetapi yang bersangkutan dengan akidah mereka.


Mereka melihat orang-orang yang beriman itu sanggup menderita kesusahan dan kesulitan kerana menegakkan cita-cita itu. Mereka sanggup menafikan kesenangan-kesenangan hidup yang dianggap oleh orang-orang yang berjiwa kecil sebagai intipati dan setinggi matlamat hidup dunia.


Apabila mereka berjiwa kecil dan padam cahaya hati nurani itu memandang kepada orang-orang mukmin yang hidup sedemikian rupa tanpa memahami rahsia cita-cita mereka yang tinggi itu, mereka pun mengejek keadaan hidup mereka, mengejek cara mereka berfikir dan mengejek jalan hidup yang dijalani mereka.


Iktibar dan pengajaran ayat:

*Perhiasan yang dihiasi kepada orang kafir dengan dunia sehingga menyebabkan mereka lalai dan hanyut sampai di hujung usia.

*Sifat mengejek amat tercela apatah lagi kepada orang-orang yang beriman dan mentaati Allah.

*Kurniaan Allah tanpa had dan batasan. Justeru mohonlah keampunan kepada-Nya.

No comments:

~CoLorS oF LiFe~


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com